Perak Darul Ridzuan bukan sahaja kaya dengan hasil bumi dan warisan sejarahnya, bahkan ia menjanjikan keindahan flora dan fauna yang mengagumkan. Terdapat lebih dari 10 buah kawasan hutan lipur dan air terjun di sekitar negeri bertuah ini. Antaranya ialah Hutan Lipur Tanjung Kala dan Hutan Diraja Belum di Gerik, Air Terjun Lata Kekabu di Lenggong, Hutan Lipur Bukit Larut di Taiping, Hutan Lipur Hulu Kinta di Ipoh, Air Terjun Lata Iskandar dan Hutan Lipur Kuala Woh di Tapah dan banyak lagi.
Penerokaan keindahan flora dan fauna di negeri Perak telah bermula sejak era kolonial British dengan pegawai-pegawai Inggeris seperti Frank Swettenham, Leonard Wray dan Isabella Birds sebagai perintisnya. Kebanyakan hasil penerokaan mereka ini dicatatkan dalam buku-buku catatan dan ada juga yang tersimpan di dalam Muzium Perak, Taiping. Pihak British juga telah mengambil langkah mewujudkan stesen penyelidikan di Bukit Larut pada tahun 1880 dan Hutan Simpan Paya Bakau di Matang pada tahun 1900.
Selain hutan, Perak juga memiliki pantai-pantai, pulau dan tasik yang memukau pencinta alam semula jadi. Antaranya ialah Pantai Ban Pecah dan Kuala Gula di Kerian, Pantai Remis, Teluk Batik, Teluk Senangin, Teluk Rubiah dan Pulau Pangkor di Manjung. Keputihan pasir pantai, ketenangan alunan ombak dan kicauan burung-burung serta suasana perkampungan nelayan membuatkan ia menjadi destinasi untuk melepaskan kerinduan pada keindahan alam.
Di Hulu Perak jika merentasi Jambatan Raja Nazrin di Lenggong, tersaji suatu permandangan yang mempesonakan dari Tasik Raban dan sekiranya ingin ke Kelantan, sebuah lagi tasik menjanjikan kedamaian iaitu Tasik Temenggor. Kedua-dua tasik merupakan syurga bagi pemancing.
Menyelusuri lebuh raya berhampiran Ipoh, terbentang bukit-bukit batu kapur dan marmar menyimpan gua yang umpan galeri batu yang menakjubkan. Salah satu gua batu kapur yang terbesar di Malaysia ialah Gua Tempurung yang memiliki stalakmit dan stalaktit yang unik serta berusia jutaan tahun.
Selain itu, Perak juga mempunyai fauna yang menarik seperti gajah, harimau, seladang dan banyak lagi. Malahan sejak dahulu lagi, fauna seperti gajah begitu banyak di negeri ini sehingga digunakan oleh para pembesar Melayu, aktiviti perlombongan bijih timah dan pengangkutan. Namun hari ini, fauna-fauna ini hanya dapat dilihat di Hutan Simpan Belum, Zoo Taiping, Taman Eko dan Pulau Orang Utan di Bukit Merah.