Pameran Kesultanan Perak Dari Tahun 1874 di Ipoh

IPOH 20 Jan. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan Pameran Kesultanan Perak Dari Tahun 1874 yang diadakan di Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Norjanati Ibrahim.

Menurut Norjanati, pameran berkenaan yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai sejarah sembilan sultan serta raja-raja bergelar yang terlibat dalam sistem pemerintahan negeri ini akan mula dibuka kepada umum bermula esok sehingga 29 Februari depan.

Pada mulanya pameran ini hanya dibuat di istana. Namun, apabila memikirkan banyak maklumat penting yang terdapat pada pameran ini yang masih tidak diketahui rakyat, kami membuat keputusan untuk membukanya kepada umum.

''Selain pelbagai maklumat, turut dipamerkan gambar bernilai mengenai sembilan sultan memerintah Perak bermula pemerintahan Almarhum Sultan Abdullah Muhammad (1874-1876) hingga pemerintahan Sultan Azlan Shah. Gambar ini kebanyakannya tidak pernah menjadi tatapan umum," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pameran yang diadakan sebagai salah satu pengisian Tahun Melawat Perak itu dibuka kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari termasuk hujung minggu.

Norjanati berkata, pihaknya juga bercadang membawa pameran secara percuma itu ke daerah seluruh negeri ini bagi membolehkan setiap lapisan rakyat mengunjunginya.

''Kita mahu semua rakyat negeri ini dapat memperoleh maklumat berguna pada pameran julung kali ini. Untuk itu, kita bercadang membawanya ke daerah lain dan kita sedang mencari tempat sesuai.''

Begitu juga mereka yang tinggal di negeri berhampiran. Saya berharap mereka dapat meluangkan masa mengunjungi pameran ini bersama keluarga masing-masing kerana banyak manfaat mereka dapat," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan