Jelajah Ramadhan Di Kuala Lumpur

Kebiasaannya pada bulan Ramadhan, orang ramai selalunya keluar bersiar-siar untuk membelah belah untuk persiapan raya nanti. Tapi bagi kami, bulan Ramadhan dan puasa tidak menjadi halangan kepada kami berjalan-jalan. Destinasi kami ialah Kuala Lumpur.

Seawal 6.30 pagi, bas kami naiki bertolak dari Ipoh dan tiba di Kuala Lumpur pukul 9.00 pagi setelah 2 jam 30 minit perjalanan. Walaupun sudah biasa sangat datang ke sini, jelajah kami kali ini sebenarnya bertujuan untuk urusan rasmi. Selesai saja urusan tersebut, kami pun mengambil peluang untuk meronda-ronda Bandar Raya Kuala Lumpur sempena bulan Ramadhan ini.


Jalan Tunku Abdul Rahman begitu popular sebagai syurga membeli-belah bagi orang ramai. Kami bukanlah kaki shopping tapi sebab nak merasai suasana menjelang raya di Kuala Lumpur, kami pun ke situ. Sebaik saja masuk ke jalan tersebut, terdapat banyak pusat membeli-belah dan kedai-kedai. Kami sempat singgah dan membeli sedikit barangan di Sogo.Di sebalik bangunan-bangunan perniagaan ini,terkejut kami melihat deretan panjang gerai-gerai di lorong belakang yang menjual pelbagai barangan untuk hari raya. Harganya pun boleh tahanlah.


Jalan punya jalan, lalu depan Masjid India. Sedar tak sedar kami dah berjalan kaki sampai ke Masjid Jamek. Kawasan inilah satu-satunya kawasan di Kuala Lumpur yang tidak pernah berubah dari dulu hingga kini.


Seterusnya kami telah melawat Muzium Tekstil Negara yang terletak di sebelah Bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan yang bersenibina Moorish ini asalnya dibina pada tahun 1896 sebagai Ibu Pejabat Keretapi Negeri Melayu Bersekutu. Muzium ini baru dibuka pada 9 Januari 2010. Lawatan kami di sini sungguh menarik kerana kami bukan sahaja dapat meneroka kekayaan kepelbagaian gaya hidup masyarakat Malaysia tapi mengetahui teknik-teknik penghasilan tekstil melalui persembahan multimedia.


Akhir sekali sebelum pulang ke Ipoh, kami sempat bersiar-siar di Suria KLCC. Suasana di sini begitu sesak dengan orang ramai walaupun bulan puasa. Cuma tempat ini nampak indah dengan dihiasi dengan perhiasan yang bertemakan Hari Raya. Tepat pukul 3.50 petang, kami bertolak dari Puduraya dan tiba di Ipoh dalam pukul 6.20 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan