Kuala Kangsar, Warisan Diraja Perak


Kuala Kangsar merupakan sebuah legasi kegemilangan Kesultanan Perak. Bandar Diraja Perak ini bermula hanya dengan sebuah perkampungan kecil di pinggir Sungai Perak. Asal usul nama bandar ini bermula apabila peneroka memudik dengan sampan hingga sampai ke suatu anak sungai di tebing kiri Sungai Perak.  Kebetulan mengikut kiraan mereka kuala sungai ini ialah yang ke seratus kurang satu, atau 'Kuala Kurang Sa'. Kononnya itulah nama asalnya, 'KUALA KURANG SA' dan kemudiannya disebut Kuala Kangsar sahaja.

Kehadiran ramai orang Melayu yang merantau ke Kuala Kangsar telah mewujudkan satu kebudayaan yang unik di sini. Antara budaya atau tradisi yang masih berkekalan hingga hari ini ialah labu sayong. Mengikut cerita, perusahaan labu sayong ini telah diperkenalkan oleh Tok Kalok dari Minangkabau semasa pemerintahan Sultan Iskandar. Selain itu, orang-orang Bugis turut mendiami Kuala Kangsar terutama di sekitar Kota Lama.

Semasa awal pentadbiran British, Kuala Kangsar hanya terdiri daripada pekan kecil yang terdiri daripada kedai papan berbumbung rumbia dan rumah-rumah kutai. Antara rumah kutai yang terbesar semasa itu ialah rumah kutai milik Che Mida (Tapaknya kini telah dijadikan SMK Raja Perempuan Kalsom). Selepas pembunuhan J.W.W. Birch, Kuala Kangsar telah didiami oleh Residen British ke-3, Sir Hugh Low. Ketika itu, Kuala Kangsar mulai berkembang pesat dengan wujudnya pusat-pusat pentadbiran British dan kemajuan seperti perkhidmatan telegraf diperkenalkan pada tahun 1880an, getah pertama di Malaysia ditanam di sini pada tahun 1879, Maktab Melayu Kuala Kangsar dalam tahun 1905 dan landasan kereta api.
Dari segi sejarah Kesultanan Perak, pada peringkat awal pusat pemerintahan Sultan Perak ialah di tebing kanan mudik Sungai Perak seperti Sayong. Pada tahun 1887, Sultan Idris Shah I telah menjadikan Kuala Kangsar sebagai tempat persemayaman Sultan Perak menggantikan Sayong yang sering kali dilanda banjir. Baginda telah membina istana di Bukit Chandan yang dikenali sebagai Istana Nagara pada tahun 1895. Istana ini telah mencipta sejarah kerana di sinilah berlangsungnya Mesyuarat Durbar yang menjadi asas Majlis Mesyuarat Raja-raja Melayu yang wujud hari ini. Istana indah ini telah dirobohkan pada tahun 1931 bagi memberi laluan kepada pembinaan Istana Iskandariah yang siap dibina pada tahun 1933.
Selain itu, terdapat banyak lagi warisan Diraja Perak yang terdapat di Kuala Kangsar seperti Istana Hulu yang telah dijadikan Galeri Sultan Azlan, Masjid Ubudiah yang didirikan pada tahun 1913, Pavilion Polo Iskandar (1930an), Madrasah Idrisiah (1922), Istana Kuning (1926) yang menjadi Muzium Diraja Perak dan banyak lagi istana serta rumah kediaman masyarakat Melayu Perak.
  

2 ulasan:

  1. Pavilion Polo Iskandar sayang tak terjaga... hari tu kayu nampak reput.....

    BalasPadam
  2. berharap ada tindakan segera memulihara warisan sejarah tersebut oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar & Pavilion dapat dikekalkan serta tidak jadi seperti rumah kutai di pinggir bandar Kuala yang musnah dimamah usia..

    BalasPadam