Kehadiran ramai orang Melayu yang merantau ke Kuala Kangsar telah mewujudkan satu kebudayaan yang unik di sini. Antara budaya atau tradisi yang masih berkekalan hingga hari ini ialah labu sayong. Mengikut cerita, perusahaan labu sayong ini telah diperkenalkan oleh Tok Kalok dari Minangkabau semasa pemerintahan Sultan Iskandar. Selain itu, orang-orang Bugis turut mendiami Kuala Kangsar terutama di sekitar Kota Lama.
Semasa awal pentadbiran British, Kuala Kangsar hanya terdiri daripada pekan kecil yang terdiri daripada kedai papan berbumbung rumbia dan rumah-rumah kutai. Antara rumah kutai yang terbesar semasa itu ialah rumah kutai milik Che Mida (Tapaknya kini telah dijadikan SMK Raja Perempuan Kalsom). Selepas pembunuhan J.W.W. Birch, Kuala Kangsar telah didiami oleh Residen British ke-3, Sir Hugh Low. Ketika itu, Kuala Kangsar mulai berkembang pesat dengan wujudnya pusat-pusat pentadbiran British dan kemajuan seperti perkhidmatan telegraf diperkenalkan pada tahun 1880an, getah pertama di Malaysia ditanam di sini pada tahun 1879, Maktab Melayu Kuala Kangsar dalam tahun 1905 dan landasan kereta api.