Jejak Tengku Menteri Ngah Ibrahim

Dari Kerian hingga ke sempadan daerah Kuala Kangsar, begitulah luasnya Larut iaitu kawasan pemerintahan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan atau lebih dikenali sebagai Tengku Menteri Ngah Ibrahim pada 1856 hingga 1877. Bersempena dengan pameran 'Sirih Pulang Ke Gagang' di Muzium Matang, Taiping, kami telah menjalankan satu laluan untuk menyingkap kembali sejarah perjuangan Ngah Ibrahim terhadap aspek politik, ekonomi dan sosial negeri Perak dahulu.


Pada pukul 9 pagi 2 Julai 2011, kami telah memulakan perjalanan dari Ipoh yang bukan sahaja akan merungkai sejarah tetapi juga keindahan alam negeri Perak. Kami telah singgah sebentar di Kuala Kangsar untuk bersarapan pagi dan bersiar-siar di pasar minggu. Setelah itu, kami sempat juga berkunjung ke Masjid Kampung Kuala Dal yang dibina dengan kos kira-kira RM8000 pada 1936 oleh Sultan Iskandar Shah. Senibina masjid ini begitu unik seperti seekor burung dan menyerupai senibina Istana Kuning (Muzium Diraja Perak).


Dalam tengah hari, kami tiba di Muzium Matang bagi melawat pameran 'Sirih Pulang Ke Gagang'. Pameran ini didedikasikan kepada Ngah Ibrahim, seorang pahlawan dan jutawan Melayu abad ke-19. Selain daripada memaparkan latar belakang beliau, pameran ini turut mendedahkan usaha membawa balik jenazah Ngah Ibrahim yang dikebumikan di Singapura kembali ke Perak. Kami berpeluang menonton tayangan dokumentari mengenai pameran ini selama sejam.


Lawatan kami di sini bertambah menarik apabila Pembantu Muzium Matang menceritakan kisah-kisah yang tersembunyi mengenai kegemilangan Ngah Ibrahim dan Larut. Kami juga ditunjukkan dengan lokasi sebenar Dato' Sagor dan Maharaja Lela yang membunuh J.W.W. Birch dihukum gantung hingga mati pada 1877.


Jika ke Matang, jangan lupa untuk merasai Mi Udang Kuala Sepetang. Memandangkan sudah tengah hari, kami telah mengambil keputusan bagi makan tengahari di Gerai Mak Teh. Tapi kami memilih untuk makan sesuatu yang lain iaitu Nasi Goreng Udang. Udangnya memang besar dan banyak. Memang puas makan di sini.


Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Taiping, Bandar Warisan. Lokasi yang ingin kami kunjungi ialah Galeria Pertama. Bangunan lama kerajaan yang dibina pada tahun 1891 ini sebenarnya telah bertukar wajah sebagai sebuah galeri yang menempatkan warisan sejarah awal bandar Taiping. Kepada sesiapa ingin melihat gambar-gambar lama Taiping, bolehlah datang ke sini.


Selepas itu, kami telah pergi ke Bismillah Cendol yang terletak berdekatan Hospital Taiping bagi merasai cendol terkenal di Taiping ini. Selesai menghilangkan dahaga, lokasi seterusnya ialah menuju ke daerah Kerian dengan melalui pekan-pekan kecil seperti Simpang Empat, Bagan Serai, Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.


Akhirnya perjalanan kami tiba di destinasi terakhir iaitu di Pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang. Ia merupakan sebuah tempat yang sungguh damai dengan suasana pantai dan sawah padi serta ditambah dengan keriuhan nelayan di jeti. Seolah-olah kita berada di antara dua alam yang berbeza. Keindahan Ban Pecah bertambah mempesonakan apabila tibanya waktu matahari terbenam. Menjelang malam, kami pun pulang menuju ke Ipoh.


Jejak Ngah Ibrahim sebuah catatan perjalanan kami dalam merungkai sejarah perjuangan Ngah Ibrahim yang bermula dari Kuala Kangsar iaitu di mana keturunan beliau berasal. Jejak ini diteruskan ke Muzium Matang yang mana terdapatnya Kota Ngah Ibrahim dan Rumah Kapten Speedy, lambang kegemilangan dan perjuangan pahlawan Melayu Perak ini. Perjuangan Menteri Larut tersebut bukan sahaja berkisar perlombongan bijih timah yang bertempat di Taiping namun meluas sehingga ke Kerian dengan bidang pertanian.

1 ulasan:

  1. salam. sy tgh buat assignment mngenai kota ini. apa ya kisah tersembunyi yg dceritakan pmbantu muzium tu? :)

    BalasPadam