A Tin Mining Family Exhibition

Pada Ahad, 12 Mei yang lalu, Ipoh World Sdn Bhd dengan tajaan Amber Synegry Sdn Bhd telah mengadakan 'A Tin Mining Family, sebuah pameran yang sangat menarik bersempena pelancaran rasmi Tin City of Ipoh di Falim House, Jalan Lahat Ipoh. 

Falim House, dahulunya sebuah banglo mewah kepunyaan tauke lombong bijih timah di Kinta. Ia telah dibina oleh Foo Nyit Tse pada tahun 1900an.

    
Pameran ini memaparkan era, gaya kehidupan dan peranan tauke-tauke lombong Ipoh dalam masyarakat setempat sebagai usahawan, peniaga dan terutamanya dermawan.

"Percayalah, pameran ini akan memberi pengalaman yang menakjubkan" - Komander Ian Anderson, sejarawan Ipoh World.

Selain itu, pameran ini juga mempamerkan peralatan, jentera perlombongan dan kisah-kisah masyarakat kuli lombong bijih timah yang menarik.

Turut dipamerkan di sini ialah sejarah mengenai para penjaja yang berniaga di sekitar dan pengilang minuman ringan F&N yang telah menjadi sebahagian daripada landskap sejarah Falim dan Ipoh lebih daripada 100 tahun.

     
Pelbagai artifak yang menarik terdapat di dalam pameran ini - alat permainan yang jarang ditemui, perkakas dapur yang luar biasa dan kenderaan asal.

 
Bersama Ian Anderson. Terima kasih atas penerangan yang sungguh menarik yang diberikan.

Pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan tayangan filem lama mengenai perlombongan bijih timah di Lembah Kinta sebelum dan selepas zaman perang yang dimainkan secara berterusan.

Pameran ini berlangsung selama 3 bulan sehingga 11 Ogos 2013 ini dan dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi - 6 petang.





Lagenda Buaya Dalam Sejarah Perak

Buaya Sungai Kinta yang ditangkap oleh penduduk setempat berhampiran Ipoh, Perak. Peristiwa buaya ditangkap oleh Pawang Buaya, Tok Ki Layor turut berlaku di Batu Gajah pada tahun 1890an. Insidennya bermula apabila seekor buaya telah membaham seorang penduduk bernama Jusoh yang sedang berwuduk di tepi Sunga Kinta. Pembesar Melayu Batu Gajah, Toh Amar Diraja dan nenda Sultan Azlan, Toh Indera Wangsa Ahmad telah mengupah Tok Ki Layor. Dengan ilmu pawang itu, buaya tu telah menyerah diri.


Selain itu Sungai Larut turut terkenal dengan kisah buaya putihnya yang dikatakan berasal daripada kisah Panglima Ghee Hin bernama Ah Choong yang mempelajari seni mempertahankan diri Melayu dan berjanji tidak akan menggunakannya untuk melawan orang Melayu. Akibat melanggar janji itu, beliau telah terjun ke dalam sungai itu dan bertukar menjadi buaya putih.

Seminar Mengenang Perjuangan Sultan Abdullah


2 Mei 2013, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan, Universiti Pendidikan Sultan Idris Perak (UPSI) telah menganjurkan satu seminar yang bertajuk 'Seminar Mengenang Perjuangan Sultan Abdullah' di Dewan Seri tanjung, UPSI.  
Dalam seminar ini, sebanyak 9 kerta kerja yang berkisar tentang latar belakang dan sumbangan Sultan Abdullah Muhammad Shah II (1874-1876) telah dibentangkan oleh sejarawan serta ahli akademik dari UPSI, USM dan lain-lain lagi.



Ekspedisi ke Kedah

10 April 2013, satu ekspedisi menjejaki warisan di Kedah, Negeri Jelapang Padi telah kami lakukan. Seawal pukul 8 pagi, kami telah bergerak menuju ke Alor Setar. Perjalanan memakan masa selama lebih kurang 3 jam lebih.

Setiba di Alor Setar, kami telah menuju ke Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir. Di sinilah, Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada 20 Disember 1925 dan menempuh usia remajanya. Apa yang menarik di sinilah, koleksi peralatan lama dan antik yang masih terpelihara rapi di dalam rumah ini seperti basikal dan lanca. Di persekitarannya pula, terdapat kilang ais lama dan dua dewab pameran yang memaparkan liku-liku hidup negarawan dari alam pengajian sehingga menjadi Perdana Menteri.

Kemudian, kami telah berkesempatan untuk bersolat zuhur di Masjid Zahir, Alor Setar. Masjid ini telah dibina pada tahun 1912 dan merupakan antara masjid terindah serta tertua di negara.

Selepas itu, kami mengunjungi Muzium Diraja Kedah yang terletak berhampiran dengan Masjid Zahir dan Balai Besar. Asalnya bangunan muzium ini ialah Istana Kota Setar atau nama lain Istana Pelamin yang didirikan pada tahun 1735 sempena pembukaan Alor Setar sebagai pusat pentadbiran Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mua' azam Shah II (1710-1778). Pelbagai maklumat dan artifak mengenai Kesultanan Kedah dapat dilihat di sini seperti songkok tengkolok Sultan Abdul Hamid Shah.

Antara monumen yang menarik yang terdapat di tengah-tengah bandar Alor Setar ialah Jam Besar, Menara Alor Setar, Galeri Sultan Abdul Halim dan Balai Nobat.

Kami meneruskan ekspedisi ke Menara Alor Setar. Uniknya menara ini merupakan menara komunikasi ke-19 tertinggi di dunia dan ke-2 di Malaysia. Menara ini telah dibuka oleh Tun Dr. Mahathir pada 14 Ogos 1997. Dari atas menara ini, kami boleh melihat panorama keseluruhan bandar Alor Setar.


Hujan lebat yang turun membasahi Alor Setar tidak menghalang kami melawat Muzium Padi yang terletak di Gunung Keriang, 8 km dari Alor Setar. Dengan kedudukannya di kawasan sawah padi, pelbagai info padi dan beras seluruh dunia boleh kami dapati di sini. 



Akhir sekali sebelum pulang ke Ipoh, kami sempat membeli-belah dan menjamu selera di lokasi yang paling terkenal di Kedah iaitu Pekan Rabu. Mengikut sejarah, Pekan Rabu ini bermula daripada pasar minggu pada tahun 1920-an dan berkembang sehingga terbina bangunan yang ada hari ini pada tahun 1975.

Hari Terbuka ATM 2013 (7 April 2013)