Sejarah Nombor Pendaftaran Kenderaan Negeri Perak

Menurut sejarah, nombor pendaftaran kenderaan bagi negeri Perak bermula dengan huruf 'PK' sejak tahun 1906 dan hanya ditukar kepada 'A' pada tahun 1945 bagi menggelakkan kekeliruan dengan Pulau Pinang (PG). Fakta yang menyatakan nombor pendaftaran kenderaan 'A' diberikan kepada Perak kerana ia merupakan negeri Melayu pertama menggunakan kenderaan bermotor adalah tidak benar. Hal ini berikutan kenderaan bermotor mula digunakan di Perak pada tahun 1902 selepas Pahang pada Januari 1900. (Perak Pioneer Newspaper, 13 Januari 1900 & 28 Jun 1902)

Majlis Meraikan Lembah Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO

Pada 10 November 2012 yang lalu, Lembah Lenggong telah diraihkan sempena pengiktirafan UNESCO kepada kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia. Majlis yang bersejarah itu telah diadakan di Dataran Lenggong serta dihadiri oleh Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak dan lebih 3000 orang.

Lembah Lenggong kini merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO ke-953 di dunia & ke-4 di Malaysia. Muzium Arkeologi Lenggong juga telah diambil alih oleh Jabatan Warisan daripada Jabatan Muzium dan kini dikenali sebagai Galeri Arkeologi Lenggong. 

"WARISAN ARKEOLOGI LEMBAH LENGGONG,
WARISAN KITA WARISAN DUNIA"



     











'Perak Man' dipulangkan ke Lenggong



           
Rais Yatim dan Zambry Abdul Kadir melancarkan plak pengisytiharan Tapak Arkeologi Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia di Dataran Lenggong, Perak, semalam. - Mingguan/Zulkarnain Mohd. Saidin

LENGGONG 10 Nov. - 'Perak Man', kerangka purba paling lengkap pernah ditemui akhirnya akan pulang ke tempat asalnya di Lembah Lenggong di sini, setelah mendapat persetujuan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika mengumumkan perkara itu berkata, upacara pemindahan rangka berusia kira-kira 11,000 tahun lalu itu akan dilakukan selepas segala kemudahan menempatkannya siap dibina dalam tempoh dua tahun.

Beliau memberitahu, pihak kementerian belum menetapkan secara khusus sama ada rangka itu akan ditempatkan di Muzium Arkeologi Lenggong atau tempat baharu yang bakal dibina kerana bergantung kepada garis panduan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Itu memang dalam perancangan tetapi prasarananya mesti siap dahulu. Ini termasuk bangunannya, pengawasannya, cara menyimpan, alat yang tidak menyebabkan bakteria muncul dan memusnahkan rangka. Ini semua kita ambil kira.

"Selepas semua ini dapat disiapkan, barulah upacara pemindahan dapat dilakukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis meraikan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dihadiri lebih 3,000 orang di Dataran Lenggong, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyerahkan watikah pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan melancarkan laman web warisan arkeologi Lembah Lenggong.

Tapak Arkeologi Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO semasa mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-36 di Saint Petersburg, Rusia pada 30 Jun lalu.

© Utusan Melayu (M) Bhd , 11 Nov.2012.