Gelagat haiwan di Taman Eko

BAGAN SERAI 27 Mac - Tidak lengkap kedatangan ke Bukit Merah Laketown Resort sekiranya tidak singgah ke Taman Eko yang terdapat di sini.

Bagi mereka yang menyukai suasana di kelilingi alam semula jadi sambil ditemani bunyi unggas, di sini adalah tempat paling tepat untuk menikmatinya.

Ini kerana taman haiwan berkonsep mesra alam itu direka agar menyerupai habitat asal haiwan-haiwan tersebut.

Justeru tidak hairanlah apabila berjalan di atas pelantar yang ditinggikan, pengunjung dapat melihat haiwan-haiwan di atas kanopi dengan lebih jelas selain boleh memberikan makanan terus kepada mereka.

Taman ini didirikan pada 5 September 1999 dan mempunyai tiga taman besar yang menempatkan 30 spesies haiwan dari dalam dan luar negara.

Namun, dalam ketenangan di taman itu, jangan terkejut sekiranya kedamaian anda dikejutkan dengan jeritan memanggil nama 'pasangan' Ayu dan Boy.

Jangan salah sangka kerana pasangan tersebut bukanlah penyambut tetamu atau penjaga di sana tetapi hanya sepasang buaya yang berehat di kandang mereka.

Jika sebelum ini Ayu dan Boy ditempatkan bersama haiwan lain kini mereka mempunyai 'rumah' baru yang dilengkapi kemudahan kolam renang.

Turut mendapat rumah baru adalah beruang dan rusa yang siap sepenuhnya pada Disember lalu.

Kawasan pameran yang lebih luas ini dibina bagi menambahkan keselesaan terhadap haiwan-haiwan tersebut.

Apabila tiba di pintu masuk ke Taman Eko, pengunjung boleh membeli makanan untuk diberikan kepada haiwan-haiwan pada harga berpatutan dan mereka tidak dibenarkan untuk membawa makanan dari luar.

Taman pertama yang akan dilalui dinamakan Nature Trail yang juga merupakan taman yang terbesar di sini.

Di dalam taman itu pengunjung boleh memberi makan kepada pelbagai spesies ikan seperti ikan koi, kalui, patin, rohu dan keli Afrika.

Situasi itu pastinya memberikan keseronokan kepada pengunjung apabila dibenarkan memberi makanan kepada beratus-ratus ikan yang berebut-rebut untuk mendapatkan makanan yang dilemparkan.

Selain itu, terdapat juga ikan arapaima dan ikan muncung buaya yang menjadi tarikan di situ. Taman kedua besar ialah Laluan Tropika.

Di situ pengunjung dapat melihat gelagat ungka tangan putih bergayut dan jika bernasib baik ia akan mengeluarkan bunyi yang boleh didengar sehingga dua kilometer jauhnya.

Pengunjung juga boleh menyaksikan sesi memberi makanan untuk memerang kecil pada pukul 12 tengah hari dan 3.30 petang.

Jika pengunjung melawat pada waktu siang, haiwan-haiwan seperti sugar glider, kongkang dan monyet Capuchin akan tidur, tetapi jika ingin melihat mereka bergerak aktif, pengunjung boleh mengikuti program The Hoot yang akan membawa pengunjung mengembara waktu malam.

Program kembara malam di dalam Taman Eko itu diadakan setiap hari Jumaat, Sabtu, cuti umum dan cuti sekolah.

Program itu bermula dengan pelayaran malam selama setengah jam di tasik Bukit Merah pada pukul 9 malam sebelum memasuki Taman Eko.

Melalui program itu, pengunjung dibawa oleh seorang renjer untuk melihat haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam, uniknya pengunjung akan berjalan dalam gelap dengan bantuan lampu suluh dan cahaya bulan sahaja.

Di antara Nature Trail dan Laluan Tropika, terdapat kawasan pameran Binturong. Binturong adalah musang yang terbesar yang boleh dijumpai di Asia Tenggara.

Haiwan itu aktif pada waktu malam tetapi kadang-kadang ia juga akan mengambil makanan daripada pengunjung pada waktu siang.

Selain itu, pengunjung juga dipelawa untuk memasuki kawasan pameran monyet tupai.

Di situ, monyet-monyet tupai yang jinak akan mengambil makanan dari tangan pengunjung dan lebih menyeronokkan apabila monyet yang berasal dari Amerika Selatan itu akan melompat ke atas bahu pengunjung untuk mengambil makanan dari tangan.

Jika bernasib baik, para pengunjung juga berpeluang melihat burung merak jantan mengembangkan ekornya untuk menarik perhatian merak betina di dalam taman itu.

Di dalam Taman Reptilia, pengunjung akan disambut oleh iguana yang dibenarkan bergerak bebas di dalam taman ini.

Pengunjung juga akan dapat melihat beberapa jenis ular seperti ular sawa batik gergasi, ular tedung selar, ular tedung senduk dan ular kapak.

Khas untuk kanak-kanak, terdapat taman haiwan peliharaan di sini antaranya arnab, tikus, tikus belanda dan kambing biri-biri.

Melalui ruangan itu, kanak-kanak digalakkan untuk menyentuh dan memberi makanan kepada haiwan-haiwan di sana.

Tidak ketinggalan menghiburkan pengunjung di situ adalah aksi burung kakak tua menerusi pertunjukan yang diadakan dua sesi setiap hari pada pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Menerusi pertunjukan itu, pengunjung akan dihiburkan dengan gelagat burung kakak tua dengan bermacam-macam aksi antaranya seperti menaiki basikal, mengira dan bermain bola. Pada penghujung pertunjukan juga pengunjung boleh bergambar dengan burung-burung dengan kadar bayaran hanya RM1 seorang.

Kedatangan ke Taman Eko pastinya menambahkan pengetahuan dan menjanjikan pengalaman menyeronokkan terutamanya kepada kanak-kanak. Selain Taman Eko, Bukit Merah Laketown Resort juga mempunyai tarikan lain seperti Pulau Orang Utan dan Taman Tema Air.

Lord of Kinta (Maharaja Kinta)

Jika di Larut terkenal dengan Raja Larut dan Tengku Menteri, daerah Kinta di Perak juga mempunyai sejarah kegemilangan anak watannya sendiri yang digelar sebagai 'Lord of Kinta' atau Raja dan Pemerintah Kinta. Gelaran ini telah diberikan kepada pembesar Melayu Perak yang mentadbir daerah ini pada masa dahulu iaitu, Dato' Panglima Kinta.

Berbicara mengenai asal usul dan salasilah Dato' Panglima Kinta ini bermula sejak zaman pemerintahan Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah. Keluarga pembesar Melayu ini dikatakan mempunyai pertalian darah Diraja Perak apabila Sultan Mansur Shah telah mengahwini seorang anak gadis kepada ketua orang Asli di Sungai Kinta (kini Ipoh). Baginda Sultan juga telah menitahkan bahawa putera baginda itu kelak akan dilantik memerintah kawasan ini dengan gelaran 'Maharaja Kinta'.


Selain itu, terdapat satu lagi versi yang membicarakan tentang asal usul pembesar Melayu ini yang mengatakan bahawa gelaran ini bermula dengan kedatangan Kulop Kinta dari Sumatera pada abad ke-16 ke daerah ini. Kulop Kinta ini telah membuka daerah ini lalu dianugerahkan oleh Sultan Perak dengan gelaran Dato' Panglima Kinta.

Sebagai pembesar berlapan di negeri Perak, Dato' Panglima Kinta memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Perak dan hieraki sosio-politik masyarakat Melayu. Namun kehadiran kuasa British di Perak khususnya di Kinta pada tahun 1878 telah mengurangkan sedikit kuasa sosio-politik pembesar ini di daerah yang kaya dengan bijih timah ini.

Kedudukan jauh pegawai daerah British di Batu Gajah, Residen British di Taiping dan Sultan Perak di Kuala Kangsar telah menyebabkan Dato' Panglima Kinta masih mempunyai kepentingan mentadbir Kinta. Hal ini ditambah dengan perkembangan industri perlombongan bijih timah di Kinta yang baru sahaja meningkat maju. Dato' Panglima Kinta ketika itu, Dato' Panglima Kinta Mohammad Yussuf (1884-1903) telah menggalakkan kedatangan imigran Cina ke Kinta dan membuka bandar Ipoh. Pada tahun 1890an, beliau merupakan antara orang Melayu yang terkaya di Tanah Melayu.

Hari ini, gelaran pembesar Melayu Perak ini masih dikekalkan dan berperanan penting dalam hal ehwal masyarakat Melayu di Kinta. Kuasa Dato' Panglima Kinta kembali kukuh kerana beliau juga merupakan Orang Besar Jajahan Kinta kini.

Kembara Matang - Bukit Merah - Bagan Serai - Kuala Sepetang

Pada cuti Tahun Baru Cina yang lepas, kami krew2 PHC telah meluangkan masa cuti kami untuk melawat Bukit Merah. Sebab sebelum ini, kami tak pernah pergi dan hanya dengar cerita orang kata seronok kat sana. Kami bergerak dari Ipoh pada pukul 2 petang. Dalam perjalanan, kami singgah meronda di Muzium Matang sebentar.

Pada pukul 5 petang, kami tiba di Bukit Merah. Nak sampai ke Laketown tu, agak mencabar la jalan die berbukit-bukit kot. Tapi kepenatan kami tu terbayar dengan kepuasan melihat keindahan tasik dan kelincahan haiwan-haiwan. Orang-orang kat situ pun peramah juga..tett..hehe.. Kami turut sempat membeli cenderamata untuk dibawa balik.

Dalam perjalanan pulang ke Ipoh, malam tu lepas solat maghrib di Bagan Serai kami singgah makan mee udang di Kuala Sepetang. Tak larat kami nak habiskan udang-udang yang banyak tu. Walaupun terpaksa mengharungi kesesakan jalan akibat orang balik cuti dari Kuala Kangsar sampai Ipoh, kami selamat tiba di Ipoh pada pukul 1 pagi.

Wah..sedap tu.. Ni la Mee Udang Kuala Sepetang..

Pintu masuk Bukit Merah Laketown Resort (kiri) & pintu keluar Ecopark (kanan).

Indahnya Tasik Bukit Merah yang luas terbentang..

Menghayati kehijauan alam semula jadi ciptaan Maha Esa.

Apa la yang bebudak ni buat lagi tu??

Kami @ Muzium Matang..

Hari Terbuka Tentera Darat 2011

Pada 4 Mac yang lalu, satu program Hari Terbuka Tentera Darat telah dijalankan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sempena Ulang Tahun ke-78 Tentera Darat Malaysia. Program tersebut berlangsung selama 3 hari iaitu sehingga Ahad. Awal-awal pagi lagi, Dataran Merdeka telah dipenuhi dengan orang ramai dan anggota-anggota tentera. Selain daripada pameran statik mengenai tentera darat, aktiviti dan persembahan daripada tentera darat turut diadakan seperti penerjunan payung terjun, anjing perang, demostrasi pengesan periuk api dan sebagainya.


Jejak Tiga Muzium di Perak

Muzium Perak tertua di Malaysia

Ditubuhkan pada 1883 dan siap sepenuhnya pada 1886, Muzium Perak adalah muzium tertua yang dibina khas untuk mengumpulkan dan mempamerkan pelbagai koleksi bahan sejarah, artifak, spesimen flora, fauna dan sosio budaya masyarakat di tanah Melayu.

Diasaskan Residen British ke-4 di Perak, Sir Hugh Low dan kurator pertamanya Leonard Wray yang ketika itu adalah penguasa Taman Bukit Larut (Maxwell Hill), Muzium Perak juga dijadikan pusat rujukan berkaitan ilmu botani dan geologi.

Memasuki perkarangan muzium, pameran sementara di Galeri A akan menyambut kedatangan pengunjung.

Bahagian yang paling menarik di Muzium Perak ialah zoologi yang dipamerkan di Galeri B, pameran alam semula jadi yang mempamerkan rangka pelbagai haiwan dengan saiz sebenar seperti harimau, kambing gurun, kuda, tapir serta kucing hutan termasuklah tengkorak gajah.

Di satu sudut, pengunjung akan berpeluang melihat rangka buaya berukuran kira-kira lapan meter yang dijumpai di daerah Matang 100 tahun lalu dan dikatakan sebagai buaya terpanjang di Malaysia ketika itu.

Apa yang akan membuatkan pengunjung lebih teruja ialah koleksi binatang yang diawet, bagaikan hidup.

Antara binatang yang boleh dilihat termasuklah pelbagai jenis burung, ikan yu, monyet, memerang, seladang dan burung layang-layang.

Di bahagian luar muzium, pengunjung boleh melihat beberapa artifak sejarah seperti kereta jenazah, motosikal, kereta kuda dan lanca yang digunakan pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Ia termasuk gerabak kereta api yang pernah digunakan oleh Perak State Railway pada 1897 dan pesawat pejuang yang pernah digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Muzium Perak dibuka setiap hari mulai 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

Mengenali Ngah Ibrahim di Muzium Matang

Muzium Matang dibina Ngah Ibrahim yang digelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan sebagai kediaman keluarganya dengan menggunakan batu-bata saja.

Apabila Ngah Ibrahim meninggal dunia pada 4 Februari 1895, kota itu diselia pentadbiran Inggeris sehingga ia dijadikan Maktab Perguruan Melayu Matang pada 1913-1922 kemudian Sekolah Melayu (1923-1941) dan Markas Tentera Jepun pada 1942 hingga 1945.
Pada 1946, ia dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1946-1984) dan kini Muzium Matang.

Berkunjung ke Muzium matang, pengunjung bukan melihat muzium sebaliknya rumah lama yang masih terpelihara yang dikelilingi tembok sebagai benteng pertahanan.

Muzium Matang mempamerkan artifak berhubung kait kronologi penubuhan bangunan dan penggunaan bangunan itu sendiri bermula daripada keluarga Che Long Jaafar, Ngah Ibrahim, pemerintahan Inggeris, pendudukan Jepun, Maktab Latihan Perguruan Melayu Matang dan sekolah Melayu.

Memasuki ruang pameran di tingkat bawah, pengunjung akan disambut oleh replika gajah Long Jaafar yang bernama Si Larut.

Si Larut haiwan istimewa kerana selepas dikatakan hilang selama tiga hari, apabila ditemui, sebahagian badannya terutama kakinya dipenuhi bijih timah dan inilah permulaan era perlombongan bijih timah.

Mendaki anak tangga kayu yang masih kukuh itu, di bahagian atas pengunjung berpeluang melihat ruangan bilik tidur Ngah Ibrahim dengan katil lama yang masih seperti asal.

Pengunjung juga berpeluang melihat mahkamah yang dijadikan tempat perbicaraan pejuang Melayu yang ditahan Inggeris.

Muzium Matang dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang kecuali Aidilfitri dan Aidiladha. Bayaran masuk percuma.

Penemuan Perak Man di Muzium Arkeologi Lenggong

Muzium Arkeologi Lenggong adalah muzium Prasejarah Pertama di Malaysia yang dibina di kawasan tapak Paleolitik 75,000 tahun seluas 8.16 ekar.

Terletak dalam Lembah Lenggong, di Kota Tampan, ia adalah satu-satunya muzium prasejarah di Malaysia yang mempamerkan maklumat berkaitan prasejarah negara khususnya bukti awal dan artifak dari zaman Paleolitik, Neolitik-Gangsa hinggalah zaman penempatan masyarakat orang Asli.

Muzium Arkeologi Lenggong itu ditubuhkan disebabkan Lembah Lenggong begitu signifikan dalam memberi pengetahuan terhadap prasejarah negara sejak 200,000 tahun lalu.

Muzium ini juga mempamerkan semua bukti tinggalan masyarakat pemburu, pengumpul yang tinggal di dalam gua batu kapur di Lembah Lenggong seperti alat-alat batu, tembikar, barang perhiasan dan acuan serta tapak gangsa dan peralatan orang Asli.
Melangkah masuk ke ruang pameran Muzium Arkeologi Lenggong, pengunjung akan disajikan dengan pameran dari zaman Paleolitik dan zaman Neolitik-Gangsa.

Apa yang menarik, pengunjung juga berpeluang melihat replika penemuan rangka manusia terawal semenanjung dan paling lengkap di Asia Tenggara iaitu Perak Man, berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun dan mengalami kecacatan genetik pertama di dunia di dalam replika Gua Gunung Runtuhan.

Bagaimanapun, rangka Perak Man yang dipamerkan di situ bukanlah yang sebenar kerana rangka asalnya kini dipamerkan di Muzium Negara.

Muzium juga mempamerkan secara terbuka semua jenis batuan yang terdapat di Hulu Perak dari yang berusia 300 ribu tahun di taman Geologi Hulu Perak.
Selain ruang pameran, pengunjung juga boleh melihat pemandangan lembah Lenggong serta sungai Perak dari Menara Pandang setinggi empat tingkat.

Muzium Arkeologi Lenggong dibuka kepada pengunjung setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha. Bayaran adalah percuma.