Perak wujud galeri kartun Lat

IPOH 28 Nov. - Kerajaan negeri mengenal pasti beberapa produk pelancongan baru yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, antara produk tersebut adalah mewujudkan sebuah galeri kartun bertaraf antarabangsa tidak lama lagi.

Beliau berkata, galeri yang akan menempatkan karya-karya pelukis tersohor negara, Datuk Mohamad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat itu akan diwujudkan di Kota Baharu di sini.

"Datuk Lat adalah pelukis kebanggaan kita dan karya dihasilkannya mempunyai keunikan tersendiri serta bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Warisan Perak yang Hilang di Garden Villa di sini, semalam.

Pelbagai pertunjukan kebudayaan seperti seni silat lincah, tarian, gendang, tarian singa dan pameran diadakan pada majlis itu.

Hamidah yakin galeri tersebut akan menjadi salah satu daya tarikan pelancongan yang menarik di negeri ini.

"Usaha yang dibuat ini membuktikan golongan ternama dapat membantu memperkenalkan kebudayaan yang ada di negeri ini," katanya.

Tegas beliau, selain itu, bangunan-bangunan yang mempunyai nilai sejarah juga akan dikekalkan.

"Negeri ini amat kaya dengan warisan kebudayaan pelbagai kaum yang sewajarnya dipertahankan bagi kepentingan industri pelancongan.

"Kita perlu bangga dan sayang dengan warisan yang kita ada kerana ia mempunyai keistimewaan yang tersendiri," katanya.

(Dipetik daripada UM, 28 Nov 2010)

Bukit Merah, Warisan Semulajadi Buatan Manusia

BAGAN SERAI – Melangkah sahaja ke Taman Eko Bukit Merah Laketown Resort, pengunjung yang bernasib baik pasti disambut dengan bunyi suara ungka yang bersahut-sahutan.

Meneroka di dalamnya, kita akan dapati ungka berwarna kelabu kekuningan, bersuara nyaring ini tidaklah ‘seganas’ seperti yang disangka.

Malah, hati pasti terhibur melihat telatah haiwan ini yang seolah-olah tidak jemu-jemu untuk menghiburkan setiap pengunjung.

Digelar ‘ungka tangan putih’, mamalia ini merupakan antara lebih 30 spesies haiwan yang terdapat di Taman Eko Bukit Merah Laketown Resort.

Hakikatnya, taman haiwan seluas kira-kira 1.2 hektar yang dibuka pada 5 September 1999 yang mempunyai tiga taman besar ini, menjadi tempat tinggal untuk pelbagai jenis hidupan berasal dari dalam dan luar negara.

Berkonsepkan mesra alam, taman-taman di sini direkabentuk menyerupai habitat asal haiwan-haiwan tersebut.

Dengan berjalan di atas pelantar yang ditinggikan, para pengunjung dapat melihat haiwan-haiwan di atas kanopi pokok dengan begitu jelas.

Lebih menarik, pengunjung boleh berinteraksi dengan sesetengah haiwan jinak yang telah dilatih untuk ‘bermesra’ dengan manusia.

Bagi menjalin hubungan ‘mesra’ ini, di pintu masuk taman eko, pengunjung boleh membeli makanan haiwan pada harga yang berpatutan.

Taman pertama akan dilalui adalah Nature Trail atau jejak alam yang juga merupakan taman terbesar terdapat di sini.

Di dalam Nature Trail, pengunjung boleh memberi makan kepada pelbagai spesies ikan seperti koi, kalui, patin, rohu dan keli Afrika.

Selain itu, terdapat ikan arapaima atau lebih dikenali sebagai ikan naga sepanjang 2.4 meter dan ikan muncung buaya.

Di taman ini pengunjung boleh memberi makan kepada rusa jinak selain burung-burung merak yang memukau mata memandang.

Jika bernasib baik, kita dapat melihat burung merak jantan mengembangkan ekornya yang cantik untuk menarik perhatian merak betina.

Jangan terlepas peluang bergambar bersama monyet tupai kerana monyet-monyet kecil berasal dari Amerika Selatan ini sangat jinak dan comel.

Tanpa rasa terancam, monyet-monyet ini akan melompat ke bahu para pengunjung yang membawa makanan sambil mempamerkan aksi-aksi spontan.

Di antara Nature Trail dan Laluan Tropika terdapat kawasan binturong, spesies musang terbesar yang boleh dijumpai di Asia Tenggara.

Haiwan ini aktif pada waktu malam tetapi jika ‘dipaksa’, dengan gaya malas, ia tetap mengambil makanan yang dihulurkan pengunjung.

Laluan Tropika adalah taman kedua terbesar di taman eko. Di sini pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat telatah ungka tangan putih.

Difahamkan, bunyi yang dikeluarkan haiwan ini boleh didengari sehingga dua kilometer jauhnya.


Monyet-monyet kecil yang jinak akan mengambil makanan yang diberi oleh pengunjung tanpa rasa terancam.
Pengunjung juga boleh menyaksikan para petugas memberi makanan kepada haiwan.

Tidak dinafikan, tarikan di taman eko ini juga ialah pengunjung dapat menyaksikan sendiri sesi memberi makan memerang kecil oleh kakitangan yang bertugas iaitu pada setiap pukul 12 tengah hari dan 3.30 petang.

Dua spesies monyet capuchin yang aktif pada waktu malam terdapat di taman mesra alam ini ialah sugar glider dan kong kang.

Jika pengunjung melawat pada waktu siang, haiwan-haiwan ini akan tidur sahaja. Untuk melihatnya bergerak, pengunjung boleh melawat taman eko pada waktu malam dengan mengikuti program The Hoot atau kembara malam.

Sementara itu, di Taman Reptilia, pengunjung akan disambut oleh iguana yang dibenarkan bergerak bebas di dalam taman ini.

Pengunjung turut dapat melihat buaya tembaga, ular sawa batik gergasi, ular tedung selar, ular tedung senduk, ular kapak dan banyak lagi.

Selain haiwan reptilia, terdapat juga burung helang merah di sini.

Khas untuk kanak-kanak, mereka bukan sekadar boleh berinteraksi malah mempelajari mengenai haiwan-haiwan jinak di taman haiwan peliharaan.

Antara haiwan yang akan ‘melayan’ kanak-kanak di sini termasuklah arnab, tikus, tikus belanda, kambing biri-biri dan lain-lain lagi.

Kanak-kanak digalakkan untuk menyentuh dan memberi makan kepada haiwan-haiwan ini bagi melahirkan sifat kasih sayang terhadap binatang.

Jangan ketinggalan menyaksikan pertunjukan haiwan setiap hari pada pukul 11.00 pagi, 12.30 tengah hari, 2.30 petang dan 4.30 petang.

Pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai aksi dan ragam burung-burung kakak tua seperti menaiki basikal, mengira dan bermain bola.

Pada penghujung pertunjukan, pengunjung boleh bergambar dengan burung-burung ini dengan bayaran hanya RM1 setiap seorang.

Program The Hoot atau kembara malam pula akan diadakan pada hari Jumaat, Sabtu, cuti umum dan cuti sekolah.

Ia bermula pukul 9.30 malam dengan pelayaran selama setengah jam di tasik Bukit Merah sebelum memasuki taman eko pertama di Malaysia ini.

Pengunjung akan dibawa berjalan dalam gelap oleh renjer bertugas dengan hanya berpandukan kepada bantuan lampu suluh dan cahaya bulan.

Bagi menyerlahkan daya tarikan taman eko ini, usaha sedang giat dijalankan untuk menambah kawasan pameran beruang, buaya dan rusa.

Kawasan pameran baru dijangka siap pada pertengahan Disember ini.

Taman eko tentunya menjanjikan pengalaman berpendidikan dan menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak.

Selain Taman Eko, Bukit Merah Laketown Resort juga mempunyai tarikan-tarikan lain seperti Pulau Orang Utan dan Taman Tema Air.

(Dipetik daripada UM,28 Nov 2010)

The Cameron Trail 2010


Sempena Aidiladha yang lalu, PHC juga telah meluangkan sedikit masa beristirehat di Cameron Highland, Pahang. Sebelum menceritakan coretan percutian kami, eloklah kita mengetahui serba sedikit info mengenai Cameron Highland.

Cameron Highland merupakan sebuah lokasi yang menarik untuk menenangkan fikiran dan jiwa dengan kehijauan alam sekitarnya. Cameron Highland ini terletak setinggi 1,829 meter dari aras laut dan mempunyai bersuhu antara 10c hingga 20c. menurut sejarah, nama tanah tinggi ini diambil sempena nama William Cameron iaitu pegawai Inggeris yang menemui kawasan ini semasa menjalankan aktiviti pemetaan pada tahun 1885. Namun proses pembangunan di sini hanya bermula pada tahun 1925 atas arahan Gabenor Sir George Maxwell selepas meninjau Cameron Highland.

Kami memulakan perjalanan dengan menaiki bas express dari Ipoh pada pukul 8.00 pagi. Oleh kerana bas itu melalui jalan Simpang Pulai-Cameron, kami dapat melihat keindahan gunung-ganang yang tinggi menjulang dan Bandaraya Ipoh dari kawasan tinggi ini.


Dalam pukul 10.30 pagi, kami selamat tiba di Kea Farm iaitu sebuah kawasan tumpuan pelancong yang mengunjungi pasar tempatan di sini yang menjual sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Tidak jauh dari Kea Farm, terdapat juga Taman Rama-rama dan ladang strawberi serta kebun sayur.


Seterusnya kami berjalan kaki menuju ke Castus Point yang terletak berdekatan Kea Farm juga. Tempat ini kalau tengok dari luar macam biasa sahaja tetapi sebaik masuk saja, ia dipenuhi dengan pelbagai bunga yang harum dan indah. Di satu sudut, kami dapat melihat kaktus yang hanya boleh hidup di kawasan sejuk.


Destinasi kami yang berikutnya ialah ke Time Tunnel iaitu sebuah galeri yang mempamerkan barang-barang antik dan sejarah Cameron Highland. Banyak barang-barang menarik boleh disaksikan di sini seperti jenis atau rupa tin Milo, susu Dutchlady, ubat gigi Colgate dan rokok dari zaman dahulu hingga kini.


Selepas penat melihat benda-benda antik, kami seterus ke pekan kedua terbesar di Cameron Highland iaitu Brinchang untuk bersolat dan menjamu selera untuk tengah hari kami. Kami juga sempat membeli beberapa cenderamata untuk dibawa pulang.


Akhir sekali kami bergerak ke Tanah Rata dengan bas awam. Tanah Rata merupakan pusat pentadbiran dan bandar terbesar di Cameron Highland. Bandar ini jika dilihat dari atas bukit sama seperti pekan koboi. Meskipun cuaca hujan, kami dapat juga bersiar-siar dan melawat beberapa tempat menarik di sini seperti Rumah Rehat Lama dan Taman Rekreasi Tanah Rata. Pada pukul 6petang, kami pun berangkat pulang ke Ipoh.

Terowong Berkembar Bukit Berapit, Lambang Sejarah Moden Perak

SEJARAH penciptaan terowong bermula sejak permulaan peradaban di mana manusia menyediakannya sebagai akses atau laluan ke makam, kuari bawah tanah atau lencongan aliran air di permukaan berbatu.

Definisi kamus menyatakan terowong adalah laluan yang dibina menembusi bukit, gunung dan terusan. Sesebuah terowong boleh menjadi laluan pejalan kaki, laluan kenderaan, jalan raya atau lebuh raya, kereta api mahupun laluan air.

Terowong boleh dikorek menembusi pelbagai jenis tanah atau batuan dan cara pembinaan terowong bergantung kepada struktur tanah serta batuan di sesuatu kawasan.

Masyarakat Rom satu ketika dulu dikatakan mahir dalam mencipta terowong sehingga mampu membina sebuah terowong sepanjang kira-kira 5.6 kilometer bagi tujuan menyalur keluar air dari Tasik Fucino yang terletak di Timur Rom, bagi mengelak masalah banjir.

Ketika itu, kira-kira 30,000 pekerja dikerah bagi membina terowong itu yang memakan tempoh masa sehingga 10 tahun untuk disiapkan.

Kini, berbekalkan kepakaran manusia dibantu kecanggihan teknologi terbukti banyak membantu dalam pembinaan lebih banyak terowong moden.

Malah, Malaysia sendiri melakar sejarah apabila membina terowong lebuh raya pertama iaitu Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang menghubungkan kawasan Gombak di Selangor dengan Genting Sempah di Pahang, yang dibuka secara rasmi pada 1979.

Malaysia turut membina terowong jalan raya terpanjang di negara ini iaitu Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) sepanjang empat kilometer (km) yang mula beroperasi pada 2007.

Terbaru, Malaysia mencipta nama dengan pembinaan terowong lebih canggih iaitu Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak, sepanjang 3.3 km yang diiktiraf sebagai sebagai terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.

Terowong itu sebahagian komponen projek infrastruktur terbesar negara setakat ini bernilai RM12.5 bilion iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar. Terowong berkenaan kini siap 70 peratus sejak dimulakan pada awal 2008.

Tanggal 1 November lalu menjadi detik awal sejarah terowong itu apabila bahagian terakhir terowong itu dipecahkan dan majlis itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Apa yang menarik, terowong berkenaan berkonsepkan berkembar dengan satu landasan yang setiap satu mempunyai sembilan laluan silang antara terowong kiri dan kanan bagi tujuan keselamatan dan penyelenggaraan. Ia dibina dalam bentuk seperti ladam kuda berukuran tinggi 9 meter x 9 meter lebar.

Lebih membanggakan, ilham reka bentuk dan binaan struktur itu dibuat sepenuhnya hasil kerjasama pakar, jurutera dan pekerja mahir anak tempatan di bawah syarikat penerajunya, MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV).

Pembinaan terowong itu menggunakan kaedah pembinaan seperti gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.

Pengarah MMC-GAMUDA JV, Datuk Azmi Mat Nor, berkata pembinaan Terowong Berkembar Berapit berhadapan banyak cabaran seperti pengorekan dibuat di bawah PLUS dan Jalan Persekutuan 1 (Taiping ke Kuala Kangsar) ketika kedua-dua laluan itu tidak ditutup kepada lalu lintas.

“Keadaan geoteknikal dengan beberapa faktor seperti struktur tanah, aliran air dan kecerunan bukit diambil kira bagi kaedah pengorekan-mikro di bawah lebuh raya. Selain itu, pengurusan trafik dan lencongan sejauh 1.5 km juga dilakukan bagi memastikan faktor keselamatan serta kesempurnaan binaan.

“Faktor penyumbang kepada kelancaran kemajuan projek dan pembinaan terowong dibantu dengan semangat dedikasi pasukan pengorekan terowong di kalangan rakyat Malaysia terlatih. Mereka mengaplikasikan pengalaman sebelum ini iaitu ketika terbabit dalam beberapa projek pengorekan terowong lain terutama Terowong SMART," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek PLBE, Yeoh Hin Kok, berkata kerja pembangunan Terowong Berkembar Berapit kini siap sekitar 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2011.

“Baki 30 peratus kerja pembinaan terowong itu masing-masing hanya membabitkan 15 peratus pembinaan infrustruktur dan 15 peratus pemasangan sistem dalam terowong.

"Pembinaan terowong itu juga memenuhi segala aspek keselamatan antarabangsa termasuk infrustruktur bertaraf dunia. Malah, sehingga kini kita mampu mencapai '19 Juta Jam Tenaga Manusia Tanpa Kehilangan Masa Akibat Kemalangan' untuk rekod keselamatan dan kesihatan PLBE," katanya.

Hin Kok berkata, dengan terbinanya terowong berkenaan, Malaysia kini mampu dilihat setanding dengan kemajuan sistem pengangkutan di negara maju lain kerana ia membolehkan kereta api elektrik memecut pada kelajuan 140 km/sejam, walaupun melalui terowong.



"Selain Terowong Berkembar Berapit, beberapa lagi mercu tanda PLBE Ipoh-Padang Besar yang bakal menjadi antara struktur menarik di negara ini ialah Jambatan Marin Bukit Merah di Bukit Merah, Taiping sepanjang 3.5 km yang kini 95 peratus siap, Terowong Larut yang berukuran 342 meter (m) bersaiz 13 m lebar dan 10 m tinggi (85 peratus siap) dan Jambatan Berbuai Prai di Pulau Pinang iaitu sepanjang 282 m," katanya.

INFO: Terowong di Malaysia

Terowong di Malaysia

  • Terowong lebuh raya pertama negara
    - Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang dibuka secara rasmi pada 1979.

  • Terowong jalan raya terpanjang di negara ini
    - Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) yang beroperasi pada

    Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak

  • Diiktiraf terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.

  • Sebahagian komponen projek infrastruktur negara iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar.

  • Projek di bawah syarikat peneraju MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV), kini 70 peratus siap sejak dimulakan awal 2008.

  • Setaraf negara maju kerana membolehkan kereta api pecut pada kelajuan 140 km/sejam.

  • Dibina dalam bentuk ladam kuda, berukuran 9 m (tinggi) x 9 m (lebar).

  • Pembinaan menggunakan kaedah gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.


  • Jom Jalan @ Ipoh 2010

    Pada 17 November 2010, PHC telah menerima kunjungan sahabat-sahabat baru dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berkesempatan meluangkan masa bersiar-siar di Ipoh, Perak. Kami telah membawa mereka menerokai keistimewaan dan tarikan yang terdapat di sekitar ibu negeri Perak, bumi bertuah.


    Dalam pukul 1 petang, kami memulakan perjalanan dengan mengunjungi dan menunaikan solat zohor di Masjid Sultan Azlan Shah. Masjid ini merupakan antara masjid tercantik yang terdapat di Ipoh dan terletak di Jalan Raja Musa Mahadi berhadapan Politeknik Premier Ungku Omar (PPUO).


    Selesai bersolat, kami bergerak ke Kinta City Shopping Complex, pusat membeli-belah terkenal di Ipoh. Di sini, kami semua sempat bermain bowling dan window shopping.


    Kemudian kami berkunjung ke Masjid Sultan Idris Shah II di tengah-tengah Bandar Raya Ipoh. Masjid ini adalah masjid negeri Perak yang dibina pada tahun 1968. Senibina masjid ini begitu unik kerana ia mencampurkan senibina Melayu dan Islam. Selain itu berhampiran masjid ini, terdapat banyak tempat menarik seperti Jam Peringatan Birch, Dewan Bandaran Ipoh, Stesen Kereta Api Ipoh dan Pokok Ipoh.


    Kami seterusnya berkaki sedikit melawat Jam Peringatan Birch. Jam besar ini telah didirikan pada tahun 1909 bagi memperingati pembunuhan J.W.W.Birch, Residen British di Perak. Perkara yang menarik di jam ini ialah lukisan mural yang menggambarkan 44 orang tokoh dunia termasuk Nabi Muhammad, Nabi Isa dan Nabi Musa. Namun, gambar Nabi Muhammad telah dipadamkan atas bantahan orang Islam.


    Akhir sekali destinasi kami tuju ialah Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Padang Polo. Tempat ini begitu popular dan menjadi tumpuan warga Ipoh untuk riadah bersama keluarga pada waktu petang. Kami turut tidak melepaskan peluang dengan bersiar-siar sekitar taman sambil makan ice-cream. Menjelang lewat petang, kami pun pulang.

    Sejarah Padang Rengas

    Padang Rengas merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di laluan Kuala Kangsar-Taiping dan diapit oleh Banjaran Gunung Hijau di utara dan Gunung Bubu di selatan. Menurut sejarah tempatan, pekan ini mendapat nama ekoran terdapat kawasan lapang dan dipenuhi dengan pokok rengas. Sebenarnya, sejarah Padang Rengas banyak berkait rapat dengan Gunung Pondok yang terletak berdekatan pekan ini.

    Berdasarkan kajian lapangan oleh Leonard Wary Jr iaitu Kurator Muzium Perak pada tahun 1927, Gunung Pondok ini telah didiami manusia sejak zaman Neolitik kerana beliau telah menemui banyak serpihan alat batu dan tembikar pra-sejarah di sini. Selain itu, gunung ini juga sering digunakan sebagai tempat memburu kambing gurun dan tempat pertahanan strategik orang Melayu semasa Perang Larut.

    Oleh kerana Padang Rengas ini merupakan laluan penting Kuala Kangsar-Taiping sejak dahulu lagi, sebuah terowong kereta api telah dibina berhampiran pekan ini iaitu di Bukit Berapit pada tahun 1897. Tinggalan sejarah tersebut masih lagi kukuh berdiri bersama stesen kereta api Bukit Berapit yang diliputi semak samun tidak jauh dari situ. Sehingga kini, Padang Rengas dan Gunung Pondok ini amat penting kerana ia menjadi sempadan antara daerah Kuala Kangsar dan Larut.

    Ipoh Dulu Kini, Dari Kaca Mata Ku

    Hari ini aku berjalan ke Bandar Ipoh. Di celah-celah kesibukan kota, aku duduk di tepi Jalan Sultan Iskandar memerhati kemajuan tempat ku dibesarkan ini. Setiap kali aku balik dari cuti, Bandar Ipoh mesti mengalami perubahan. Kereta-kereta membanjiri jalan utama Bandar ini. Deretan kedai-kedai lama banyak yang sudah berubah. Ada yang sudah diubahsuai dan ada juga yang sudah dimakan usia hanya menanti masa untuk rebah ke bumi. Kaki limanya lesu dengan warga-warga kota yang berusia emas.

    Ketika aku duduk keseorangan di tepi jalan yang sibuk itu, lahir kerinduan di hatiku pada Ipoh yang aku kenali 12 tahun lalu. Masa itu, kaki lima kedai-kedai begitu sesak dengan gelagat peniaga dan pembeli. Perhentian bas sentiasa sibuk dengan bas dan orang ramai tak kira di Jalan Sultan Iskandar mahupun di depan Pasar Besar Ipoh. Pekikan kontraktor bas menambahkan kemeriahan. Suasana pagi di kawasan sekitar pasar ini tidak terkata riuh rendahnya dengan aktiviti perniagaan. Ada beca yang melintasi jalan raya.

    Apabila ke pasar, sudah tentu aku akan ke pasar raya utama di Ipoh ini iaitu Super Kinta. Masuk-masuk je, akan ternampak kaunter pertanyaan dan belok ke kanan ada kedai jam serta kedai kek dan roti iaitu tempat aku selalu membeli donut. Sedapnya donut tu. Kehadapan sedikit akan terjumpa kaunter-kaunter pembayaran dan tempat membeli belah yang tingkat bawahnya ada peralatan dapur, sabun, racun serangga dan tingkat atas pula ada minuman,makanan dan buah-buahan. Keluar dari situ, terdapat bahagian pakaian kanak-kanak, perempuan dan kasut. Kalau naik ke tingkat atas, terdapat barang mainan, alat tulis dan pakaian lelaki.

    Selain dari Super Kinta, di Ipoh masa itu ada The Store di Tai Wa yang bangunannya sekarang dijadikan Kolej Olympia dan lagi satu Ocean di Jalan Dato’Onn yang sekarang dah jadi The Store. Dekat dengan Ocean ini, ada dua pawagam. Aku pernah masuk tengok cerita ‘Senario The Movie’ masa tu. Tapi sekarang pawagam tu, satu dah jadi restoran mewah Cina dan satu lagi jadi gedung pakaian.

    Kalau nak dekat-dekat musim sekolah, sudah tentu mak bapa akan bawa anak-anak pergi ke Bazaar Looking untuk membeli peralatan persekolahan. Tapi bazaar ini telah terbakar pada tahun 2008. Walaupun kini bangunan bazaar tu telah diperbaiki namun kedai-kedai baju sekolah dah tak ada lagi di situ dan Looking amat sunyi.

    Di hujung minggu pula, sudah tentu warga Ipoh akan memenuhi Pasar Minggu di pekan lama yang sekarang dijadikan Taman Pesisiran Ipoh Riverfront. Tempat ini penuh sangat dengan orang ramai sampai nak jalan pun susah. Silap-silap boleh habis tiga jalan di pasar minggu ini. Hari ini pasar minggu ini telah dipindahkan ke Jalan Conlay. Masih ramai orang mengunjungi tetapi yang tak sama ialah kebanyakan pengunjungnya adalah warga pekerja asing.

    Selepas terlena dibuai kenangan suasana Ipoh pada masa aku di bangku sekolah rendah, aku pun pulang dengan menanti bas. Rupa-rupanya bas-bas lama di Ipoh mulai digantikan dengan bas baru warna biru siap ada gambar bunga kertas, lambang Bandar Ipoh yang berhawa dingin dan diberi nama ‘Perak Transit’. Baru-baru ini, bas pergi Kuala Kangsar guna Perak Transit tapi sekarang ini, bas Ipoh dan Kampar pun dah guna juga. Eloklah dah tukar sebab dah teruk sangat. Nasib baiklah stesen bas Medan Kidd masih kekal cuma bas express telah dipindahkan ke Medan Gopeng. Kalau tak dulu, memang jalan depan tu sesak dengan kenderaan.

    Meskipun aku gembira melihat tempat kelahiran aku ini meningkat maju namun terdetik kesedihan di jiwa ini. Dalam aku meningkat usia, sedikit demi sedikit nostalgia masa kecilku kini kian hilang di dalam arus pembangunan ibu kota negeri Perak ini. Adakah suatu ketika nanti, tinggalan lama di Ipoh yang mempunyai kaitan dengan hidup aku akan terus kekal berada di situ untuk aku tatapi lagi?? Inilah harga perlu dibayar demi pembangunan..

    Sejarah bantu kita fahami akar umbi tamadun bangsa

    Langkah jadi subjek wajib lulus pada 2013 bantu generasi muda nilai kemanusiaan, tingkat penghayatan patriotisme

    SEJARAH adalah satu cabang ilmu yang berasal dari Yunani pada abad ke-5 Sebelum Masihi (SM). Karya yang mula-mula dianggap sebagai penulisan sejarah ialah Histories, ditulis oleh Herodotus yang dianggap sebagai 'bapa sejarah'.

    Karya Herodotus ini membawa maksud penyelidikan atau penyiasatan. Ia diterjemahkan oleh G Rawlinson dengan judul The Persians Wars. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh The Modern Library, New York pada 1942.

    Dalam bahasa lain, sejarah dikenali seperti berikut iaitu historia di negara Latin, history (Inggeris); storia (Itali), historie (Perancis), geschichte (Jerman), gescheiedenis (Belanda), shih (Cina), itihasa dan purana (Hindu) dan tarikh (Arab). Dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia disebut sejarah (syajarah) yang diambil daripada perkataan Arab ‘syajaratun’ yang bererti pohon, keturunan atau asal-usul.

    Sejarah adalah berkaitan dengan perkara atau peristiwa yang sebenar sudah berlaku (Sir John Seely). Ia merakamkan pengalaman kehidupan manusia dalam masyarakat yang bertamadun (G Renier). R G Collingwood menganggap semua sejarah ialah sejarah pemikiran (idea manusia). Lewis Namier pula menyebut bahan atau mauduk yang menjadi perhatian sejarah ialah mengenai tindakan manusia sehingga mencetuskan peristiwa mengikut keadaan dan masa.

    Islam sangat memberi perhatian terhadap sejarah. Misri A Muchsin dalam Filsafat Sejarah Islam (Ar-Ruzz Press, Jogjakarta, 2002) menyebut sekitar dua pertiga daripada keseluruhan ayat al-Quran memiliki nilai atau norma sejarah yang mana al-Quran berbicara mengenai perubahan dalam masyarakat yang sangat ditentukan oleh kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia. Dalam konteks ini, al-Quran berbicara sebab khusus terjadinya perpecahan sosial bangsa yang sudah terlalu jauh menyimpang daripada sendi kebenaran hakiki.

    Sejarah sebagai satu ilmu memerlukan kepada penyiasatan dan penyelidikan mengenai peristiwa masa lampau berdasarkan bukti yang ditemui. Daripada bukti atau sumber itu, maka pentafsiran sejarah akan dilakukan oleh sejarawan. Jacob Burchharht menyebut bahawa sejarah ialah pentafsiran berdasarkan kepada sumber. Ini bermakna sejarah ialah pencarian untuk mendapatkan kebenaran, hakikat dan penujuan manusia (Arnold Toynbee). Dalam konteks ini, Edward Carr menyebut bahawa sejarawan mempunyai dua tugas utama iaitu menyingkap fakta penting dan menyingkirkan fakta historis (bukan fakta sejarah). Sejarawan harus dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan (pembohongan) sumber sejarah. Ibnu Khaldun sangat tegas dalam perkara mengenai fakta sejarah. Beliau menegaskan sejarawan perlu melakukan dua perkara penting, iaitu memberi pemikiran mendalam terhadap berita mengenai sesuatu peristiwa dan membuat kajian terhadap kebenaran dan kejujuran penutur (pencerita) dan penulis berita itu.

    Ilmu sejarah adalah ilmu yang menggunakan pendekatan ilmu sosial. Hasil daripada metodologi kajian sejarah itu membolehkan ahli sejarah melakukan interpretasi sejarah terhadap peristiwa yang dikaji. Interpretasi itu pula bergantung kepada dari segi mana sejarawan itu melihatnya, dimensi mana yang diperhatikan serta undur mana yang diungkapkannya. Misalnya, jika ia menggunakan pendekatan politikologis sudah pasti sejarawan itu akan meneliti atau menyoroti pertentangan kekuasaan, ideologi politik, struktur politik dan jenis pemerintahan serta kepemimpinan.

    Yang pasti, dalam apa jua pendekatan yang digunakannya, pengkaji sejarah memerlukan pengetahuan mengenai konsep dan teori ilmu sosial seperti antropologi, sosiologi, geografi, politik, ekonomi, bahasa, kesusasteraan, falsafah dan ilmu sosial yang lain. Malah, dalam keadaan tertentu pengkaji sejarah memerlukan bantuan ilmu fizik dan kimia untuk membuat penilaian mengenai bahan berkaitan fosil, batu bata, bahan purba dan dokumen lama yang dikajinya itu.

    Pada sekitar 1920-an, ahli sejarah Perancis yang terdiri daripada aliran ‘Annales’ dianggap berjaya meletakkan ilmu sejarah sebagai ilmu bersifat saintifik dengan sempurna apabila berjaya menggunakan kaedah kuantitatif serta menghuraikan secara sahih peranan pelbagai faktor penyebab seperti geografi, struktur sosial dan pemikiran. Justeru, penulisan sejarah yang dihasilkan oleh ahli sejarah Annales telah memberikan satu nafas baru kepada pengajian ilmu sejarah dengan memperluaskan sudut pandangan ahli sejarah, baik dari segi ruang lingkup mahupun perkaedahan (R Suntharalingam, 1987).

    Sebenarnya, bagi mereka yang membuat pengkhususan dalam pengajian sejarah, terlalu banyak cakupan ilmu sejarah yang perlu dikuasainya. Misalnya, seseorang penuntut atau pengkaji dalam pengkajian falsafah sejarah perlu memahami mengenai dasar dan persoalan falsafah sejarah, perkembangan pensejarahan (Timur dan Barat), perkembangan falsafah sejarah mengikut periodisasi, epistemologi sejarah, ontologi sejarah, teleologi sejarah, kosmologi sejarah, eskatologi sejarah, nomologi sejarah dan aksiologi sejarah.

    Apakah fungsi sejarah? Apakah sejarah itu hanya dilihat sebagai satu nostalgia ataupun romantisisme yang digunakan sebagai satu pelarian seperti yang ditanggapi oleh orang yang bukan ahlinya. Ibnu Khaldun menyatakan bahawa ilmu sejarah adalah ilmu yang dikaji oleh pelbagai bangsa dan generasi untuk mengetahui mengenai kerajaan dan negara serta perubahan yang terjadi dalam sesuatu masyarakat itu.

    Melalui sejarah, sesuatu bangsa itu dapat mengenali mengenai akar umbi serta jatuh bangunnya bangsa itu. Daripada peristiwa sejarah itu jugalah kita dapat memahami dan mengenali hukum sebab akibat daripada sesuatu peristiwa supaya boleh diambil pengajaran daripadanya. Nouruzzaman Shiddiqie dalam pengantar Sejarah Muslim (Nurcahaya, Yogyakarta, 1983) menyebut sejarah sebagai peristiwa masa lampau bukan sekadar memberi maklumat mengenai terjadinya peristiwa itu, tetapi juga memberi interpretasi atas peristiwa yang berlaku dengan melihat kepada hukum sebab akibat untuk dijadikan pengajaran.

    Sejarah mampu memperteguhkan semangat dan ketahanan sesuatu bangsa dalam menghadapi krisis atau kekacauan dalam kehidupan semasa. Melalui pengalaman sejarah, ia dapat menyediakan arah garis tertentu serta membina keyakinan dan harapan masa depan yang lebih menyakinkan. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihasilkan di negara kita adalah didorong oleh pengalaman sejarah bangsa Melayu yang mengalami keterbelakangan dalam penyertaan ekonomi moden kesan daripada dasar yang diamalkan penjajah. Ia adalah berkaitan dengan kesan dan akibat daripada perjalanan sejarah kolonial di negara kita.

    Bagi bangsa yang tidak memberikan perhatian kepada sejarahnya, ia akan kehilangan arah dan identiti kerana perilaku, pemikiran dan tindak tanduknya sudah tersasar dan terputus daripada sejarah akar umbi bangsanya. Hakikatnya, apabila kita meneliti negara dan masyarakat kita, maka kita dapati bahawa negara dan masyarakat kita yang wujud hari ini banyak dikenali melalui pelbagai simbol dan lembaga kenegaraan yang ada hubungannya dengan pensejarahan negara.Justeru, sejarah nasional wajib menjadi sebahagian daripada unit sejarah dalam pengajian sejarah tanah air.

    Sejarah tradisional tanah air mampu membawa kita mengenal akar umbi ketamadunan bangsa, manakala sejarah moden tanah air yang berkembang pada abad ke-19 dan 20 pula mampu memupuk semangat kita untuk meneruskan pembinaan negara bangsa yang mempunyai identiti dan jati diri yang kukuh.

    Kita juga perlu memahami bahawa proses dan perjalanan sejarah tanah air tidak dapat dipisahkan daripada proses sejarah makro antarabangsa yang dalam keadaan, masa dan ruang tertentu turut mempengaruhi banyak aspek pensejarahan tanah air seperti aliran ideologi, politik, nasionalisme, perdagangan, kemasukan teknologi baru dan migrasi bangsa dari negara luar. Proses sejarah itu telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam proses pensejarahan negara.

    Kesimpulan, pengajian sejarah akan menjadikan generasi kita memahami proses pembinaan negara bangsa, membangun intelektual, menghargai usaha dan sumbangan tokoh tanah air, membina nilai kemanusiaan serta membentuk warga negara yang patriotik. Melalui penghayatan terhadap pengalaman sejarah tanah air akan meningkatkan kesedaran, kepekaan dan semangat ingin membabitkan diri dalam proses pembinaan negara bangsa secara aktif dan produktif di atas penghayatan patriotisme yang tinggi terhadap tanah air.

    Justeru, keputusan kerajaan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan Sejarah sebagai subjek teras di sekolah rendah mulai 2014 sangat dialu-alukan.